Bab 2: Hari Pertama di Sekolah
Pagi itu, Hisyam mengenakan pakaian serba kemas. Baju kemeja biru terang dan seluar slack hitamnya tampak rapi, walaupun fikirannya sedikit berkecamuk. Dia melangkah keluar dari kuarter bersama surat perpindahan di tangan dan Milah yang menemani anak-anak ke kawasan sekolah rendah yang tidak jauh dari situ.
Bangunan sekolah itu sederhana besar, dengan dinding bercat hijau muda yang sudah mulai pudar dimamah masa. Sekumpulan murid sedang berlari-lari di padang sekolah sambil ketawa riang, suasana yang sedikit menghidupkan hati Hisyam.
Di pejabat sekolah, Guru Besar, Encik Razman, menyambutnya dengan mesra. Wajah lelaki separuh umur itu kelihatan sedikit letih, tetapi senyumannya tidak lekang dari bibir.
“Selamat datang, Cikgu Hisyam. Saya mohon maaf kalau ada sebarang kekurangan. Saya baru diberitahu tentang perpindahan cikgu tiga hari lepas. Jadi, persiapan kami agak tergesa-gesa,” katanya sambil mempersilakan Hisyam duduk.
“Tak mengapa, Tuan Guru Besar. Saya faham keadaan,” jawab Hisyam sambil menyerahkan surat perpindahan dia kesekolah itu dan dokumen untuk pendaftaran Zaleha ke sekolah rendah di situ.
Encik Razman membelek surat-surat itu sebelum mengangguk. “Baik, saya akan minta kerani sekolah uruskan pendaftaran anak cikgu. Tentang kuarters… saya minta maaf sekali lagi. Kuarters baru sudah penuh, jadi cikgu terpaksa tinggal di kuarters lama buat sementara waktu.”
Hisyam mengangguk perlahan, tetapi dia dapat menangkap sedikit kegusaran di wajah Encik Razman. “Tak mengapa, Tuan. Saya faham. Lagipun, saya diberitahu ini hanya sementara.”
“Ya, betul. Saya sudah maklumkan kepada Pak Mat untuk membantu mencari rumah sewa untuk cikgu secepat mungkin. Sebenarnya, saya sendiri tak berasa senang membiarkan cikgu tinggal di kuarters lama itu. Tapi keadaan tidak mengizinkan,” katanya dengan nada bersalah.
Hisyam tertanya-tanya dengan kata-kata itu, tetapi dia memilih untuk tidak mengulas lanjut. Dia hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih. “Saya hargai usaha Tuan Guru Besar.”
Setelah urusan selesai, Encik Razman memperkenalkan Hisyam kepada beberapa guru lain di bilik guru. Mereka semua kelihatan mesra dan menerima Hisyam dengan baik. Cikgu Farid, guru Matematik lain di sekolah itu, mengambil inisiatif memperkenalkan diri dahulu.
“Selamat datang, Cikgu Hisyam. Kalau ada apa-apa, jangan segan-segan beritahu saya,” katanya sambil tersenyum. Guru-guru lain turut mengangguk tanda setuju.
Sementara Hisyam berbual santai dengan Cikgu Farid dan Cikgu Rozita, seorang lagi guru, iaitu Cikgu Murni, menyertai mereka. Wanita kecil molek itu berusia dalam lingkungan 30-an dan terkenal sebagai seorang yang suka berbual.
“Wah, Cikgu Hisyam, macam mana duduk di kuarters lama tu? Seram tak?” Cikgu Murni bertanya dengan nada separuh bergurau, tetapi mata bersinar seperti ingin tahu sesuatu.
“Setakat ni, Alhamdulillah, okay. Ada bunyi sikit-sikit, tapi mungkin angin laut kot,” jawab Hisyam dengan senyum nipis.
Cikgu Murni mengangkat kening. “Oh, angin laut ya? Hmm… cikgu tahu tak, dulu-dulu, kuarters tu ada kisahnya.”
“Murni!” Cikgu Rozita memotong sambil menjeling. “Janganlah cakap benda-benda macam tu. Nanti orang baru takut.”
“Eh, tak ada apa-apa lah!” balas Murni, tersenyum sambil memandang Hisyam. “Tapi kalau cikgu dengar apa-apa yang pelik, cerita kat kami ya. Kadang-kadang angin laut tu… bawak lebih dari sekadar bunyi ombak.”
Hisyam hanya ketawa kecil, walaupun hatinya terasa sedikit tidak tenteram. Perkataan Cikgu Murni seolah-olah membawa maksud tersirat. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan? Namun, dia memilih untuk menyimpan persoalan itu buat masa ini.
P/S Jangan ke mana-mana! Cerita ini masih belum berakhir. Nantikan sambungannya dalam Bab 3 yang penuh kejutan dan kisah menarik. So, tunggu dulu ya!
0 Comments